SUAMI MATI PUCUK
(masalah feqah yang mesti diketahui pasangan yang belum atau sudah berkahwin)
Selepas enam bulan berkahwin, Ani belum disetubuhi suaminya, Mi. Dia agak kehairanan. Di dalam hatinya terdetik "Kalau suamiku malu untuk mengajak melakukan persetubuhan, tidak mungkin kerana masa itu terlalu lama. Kalau dalam tempoh seminggu, aku boleh terima bahawa suamiku malu " . Ani nekad bertanya suaminya. " abang, dah enam bulan kita kahwin, tapi dara saya belum dihilangkan. Apa, abang ada masalah kelamin kah? " Mendengar pertanyaan Ani, Mi segera menjawab, "Tak adalah. Okey apa ". Ani tidak percaya. Dia membawa masalah itu kepada kadi dan memohon fasakh atas alasan suaminya seorang yang ' anin iaitu mati pucuk.
Setelah dipanggil, Tuan Kadi bertanya Mi " adakah kamu mengalami masalah mati pucuk " Mi terdiam seketika. Tuan Kadi bertanya sekali lagi, " saya tanya kamu, adakah kamu mengalami masalah mati pucuk ". Mi tidak dapat berselindung lagi. Di hadapan Tuan Kadi, dia mengaku, " Ya, saya mati pucuk ". Ani turut mendengar pengakuan itu. Kini sah lah jangkaannya selama ini adalah tepat dan betul.
Setelah mencatit semua percakapan, Tuan Kadi pun mengeluarkan perintah, " Mi, saya beri tempoh kepada kamu setahun untuk kamu berubat dan memulihkan alat kelamin kamu. Jika selepas setahun, alat kelamin kamu masih tidak berfungsi, saya akan fasakhkan perkahwinan kamu dan Ani " Mendengarkan perintah Tuan Kadi, Mi bingkas menjawab, " baik Tuan Kadi. Saya akan usahakan" Kemudian Mi dan Ani meninggalkan pejabat kadi.
ULASAN DAN KOMENTAR
1. Unnah atau mati pucuk adalah salah satu sebab untuk memfasakhkan perkahwinan dengan syarat isteri memintanya. Jika isteri tidak meminta fasakh, perkahwinan kekal seperti biasa.
2. Jika telah disabitkan mati pucuk, kadi hendaklah memberi tempoh setahun kepada suami untuk memulihkan alat kelaminnya. Jika alat kelamin kembali pulih sebelum cukup tempoh yang diberikan, maka perkahwinan kekal dan tuntutan fasakh oleh isteri digugurkan.
3. Jika mati pucuk kekal sehingga berakhir tempoh yang diberikan, kadi akan memfasakhkan perkahwinan setelah isteri menuntutnya. Ini bermakna isteri hendaklah sekali lagi menuntut fasakh selepas berakhir tempoh setahun yang diberikan oleh Tuan Kadi.
4. Tempoh setahun untuk memulihkan alat kelamin bermula dari tarikh perintah kadi, bukannya dari tarikh suami mengalami mati pucuk.
5. Isteri yang pernah disetubuhi, kemudian perkahwinannya difasakhkan dengan sebab suami mengalami mati pucuk, maka dia wajib beriddah.
6. Jika sepanjang perkahwinannya tidak pernah disetubuhi disebabkan suami mati pucuk dan perkahwinannya difasakhkan dengan sebab tersebut, maka isteri tidak wajib beriddah.
( Coretan Syeikh Ahmad Faisol Hj Omar)
No comments:
Post a Comment